LAUT TAWAU - ANTARA SELUDUP DAN BAYAR CUKAI
Di perairan ini terletak sebuah Pelabuhan, Pengkalan Polis Marin, Kompleks Kastam, Pengkalan Navy, Maritim, Pasar Ikan, Terminal Feri Tawau, beberapa buah perkampungan atas air dan beberapa jeti nelayan / persendirian.
Dahulu di sini terkenal dengan kegiatan perdagangan dengan negara-negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina. Aktiviti utama adalah kegiatan perdagangan sistem barter. Turut rancak adalah kegiatan penyeludupan. Dari sekecil-kecil keropok belinjo sehingga rokok keretek, kayu gaharu, haiwan eksotik dan dadah diseludup keluar masuk berleluasa di sini. Dan sudah semestinya PTI dari Indonesia.
Kedudukan Tawau dan Nunukan Indonesia yang sangat dekat ditambah lagi dengan ketiadaan pagar membatas sempadan negara memudahkan penduduk di sini keluar masuk Tawau - Nunukan tanpa melalui pintu masuk yang sah. Melalui jalan laut. Bot laju dan petek-petek.
Dikatakan walaupun perairan ini dijaga oleh pasukan keselamatan dan pihak berkuasa kedua-dua negara berjiran ini, namun keluasan / panjang sempadan perairan tanpa pagar dan kekurangan kekuatan keanggotaan, serta sikap segelintir penguatkuasa yang khianat telah menyebabkan kegiatan penyeludupan aktif berlaku pada masa itu. Waktu siang dan terutamanya sebelah malam.
Kegiatan penyeludupan yang berleluasa pada ketika itu merancakkan lagi aktiviti ekonomi kedua belah 'daerah'. Rakyat juga mudah memperoleh barang-barang keperluan dengan kos yang rendah.
Selain itu, kegiatan tersebut juga telah secara langsung mewujudkan banyak peluang dan ruang-ruang kerja kepada penduduk di kawasan berdekatan. Pergerakan aliran wang dalam daerah ini begitu rancak dan jarang sekali kedengaran keluhan rakyat di sini tentang kos sara hidup, harga barang, dan kesukaran mendapatkan barang / bekalan.
Selain itu, kegiatan tersebut juga telah secara langsung mewujudkan banyak peluang dan ruang-ruang kerja kepada penduduk di kawasan berdekatan. Pergerakan aliran wang dalam daerah ini begitu rancak dan jarang sekali kedengaran keluhan rakyat di sini tentang kos sara hidup, harga barang, dan kesukaran mendapatkan barang / bekalan.
Apa yang ingin saya katakan adalah kenapa sejak penguatkuasaan undang-undang ketat berkaitan kawalan sempadan, dan kecanggihan teknologi, serta pengaplikasian sistem pentadbiran yang cekap dan moden, keadaan ekonomi rakyat menjadi semakin teruk? Kesusahan semakin menghimpit.
Kos sara hidup meningkat mendadak. Banyak kekangan yang dihadapi oleh para peniaga dan rakyat untuk mendapatkan taraf ekonomi yang lebih baik seperti atau berbanding dahulu. Terlebih-lebih lagi tentunya kepada para penggiat 'penyeludupan'.
Saya cuma mahu bertanya, apakah sistem ekonomi sekarang ini dilaksanakan semata-mata untuk menyeksa rakyat? Atau apakah ekonomi sekarang ini adalah yang terbaik kerajaan mampu sediakan untuk rakyat?
Kalau kegiatan penyeludupan boleh saja mensejahterakan rakyat, apa perlunya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang menyusahkan rakyat? Kalau untuk mendapatkan hasil cukai, rakyat akan semakin terbeban dan menderita.
Yang mewah orang-orang tertentu saja. Yang rakyat berkakai mencari rezeki dalam masa yang sama sentiasa takut diburu oleh pihak berkuasa kerana melanggar peraturan. Peraturan yang sebenarnya hanyalah alasan untuk mengaut pendapatan daripada rakyat. Pendapatan yang sebenarnya adalah milik mutlak rakyat itu sendiri.
Stress di kalangan rakyat meningkat. Peluang-peluang pekerjaan semakin terbatas. Jadinya ada yang terdesak dan terpaksa mencebur diri buat kerja jenayah, mencuri, merompak, menyamun dan kerja jahat sebagainya.
Tulisan saya ini bukan bermakna saya menggalakkan atau mengesyorkan kegiatan penyeludupan dibenar berleluasa kembali. Cumanya saya mengutarakan persoalan apakah tiada jalan yang boleh menjadikan kegiatan ekonomi rakyat di sini kembali rancak dan menjana ekonomi mereka tanpa dibebani cukai yang tinggi dan kerenah monopoli oleh pihak-pihak tertentu?
Manfaat terus daripada cukai kepada rakyat tidaklah seberapa. Malahan jauh lebih rendah daripada yang dikutip. Pulangan dalam bentuk wang bantuan dan subsidi yang kini semakin kecil tidak berbaloi dengan apa yang dipungut secara paksa rela daripada mereka. Malahan nikmat subsidi yang kecil itu juga turut dikecapi oleh semua lapisan masyarakat. Termasuk orang kaya dan warga asing.
Jadinya kini, yang kaya semakin kaya. Yang miskin papa kedana dari diri sehingga ke generasi warisan mereka.
~Sekadar aku belajar menaip..





No comments:
Post a Comment