Search This Blog

Saturday, 30 March 2019

FAKTOR-FAKTOR KEMALANGAN JALANRAYA DI MALAYSIA

FAKTOR-FAKTOR KEMALANGAN JALANRAYA DI MALAYSIA

Ditulis oleh: Panglima Bajau

PENGENALAN

Kemalangan jalanraya adalah antara penyumbang tertinggi kes kematian di negara ini. Hampir setiap hari di seluruh negara ada sahaja dilaporkan kematian akibat daripada kemalangan jalanraya. Peningkatan statistik kematian akibat kemalangan dari tahun ke tahun amat membimbangkan walaupun kemajuan pembangunan negara semakin baik dan sepatutnya mampu mengekang peningkatan kemalangan ini. Beberapa perkara dikenalpasti antara punca berlakunya kemalangan jalanraya. Antaranya adalah:
(a) Sikap pemandu 
(b) Keadaan jalanraya
(c) Keadaan kendaraan
(d) Faktor cuaca / bencana alam 
(e) Faktor-faktor lain.

SIKAP PEMANDU

Sikap pemandu dikenalpasti menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes kemalangan jalanraya. Sikap pentingkan diri tanpa menghiraukan aspek keselamatan diri dan pengguna lain mendorong seorang pemandu bertindak mengikut kehendak hati sendiri seperti memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, tidak memasang 'signal' ketika masuk/keluar simpang, dan sebagainya telah banyak mengakibatkan kemalangan. Terdapat juga pemandu yang lalai seperti gagal mematuhi isyarat lalu lintas terutamanya di persimpangan lampu isyarat, selekoh tajam, dan di bulatan. Malahan ada pemandu yang dengan sewenang-wenangnya berkelakuan biadab membuli pengguna lain yang boleh mengundang bukan sahaja kemalangan tetapi juga pergaduhan. Selain itu, terdapat juga pemandu yang tidak berdisiplin di jalan raya. Antaranya ada yang memandu sambil minum, makan, hisap rokok, dan mengendalikan telefon bimbit. Tebiat ini juga antara penyumbang terbesar kepada kes-kes kemalangan jalanraya.

KEADAAN JALANRAYA

Pembangunan infrastruktur jalan raya di negara ini terus ditingkatkan dari tahun ke tahun. Malah di beberapa buah negeri di Semananjung Malaysia, kebanyakan jalanrayanya telah mencapai tahap yang amat memuaskan. Jaringan jalanraya yang baik akan memberi keselesaan pemanduan kepada para pengguna jalanraya. Namun demikian itu tidak menjamin jalanraya tersebut bebas daripada insiden kemalangan lebih-lebih lagi apabila bersangkutan dengan faktor sikap pengguna. Bentuk muka bumi yang berbukit bukau, gunung lembah dan persisiran pantai juga menyumbang kepada kejadian kemalangan jalanraya. Banyak jalanraya terutama di negeri Sabah dan Sarawak yang keadaannya jauh daripada tahap memuaskan. Jarak antara bandar yang terlalu jauh ditambah dengan kemudahan jalanraya yang tidak dilengkapi lampu jalan, tanda-tanda isyarat lalulintas, jalan berlopak, tidak berturap, sempit dan dikelilingi hutan tebal pastinya tidak selamat untuk pemanduan terutamanya pada waktu malam atau ketika hujan lebat. Terdapat juga jalanraya yang tidak memenuhi aspek keselamatan samaada dari segi binaan mahupun pemasangan tanda isyarat yang tidak releven di kawasan-kawasan tertentu.

KEADAAN KENDERAAN

Keadaan kenderaan yang tidak dalam keadaan yang baik juga antara sebab berlakunya kemalangan. Kegagalan pemandu memeriksa dan memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik sebelum berjalan turut dikenalpasti penyebab kemalangan jalanraya. Kenderaan yang selamat digunakan mestilah merangkumi perkara-perkara seperti sistem lampu, brek, minyak petrol/enjin, sistem gear dan sebagainya dalam keadaan yang baik. Kegagalan para pemandu memastikan perkara-perkara ini berpotensi membawa padah semasa pemanduan.

FAKTOR CUACA / BENCANA ALAM

Keadaan cuaca dan kejadian bencana alam juga adalah antara penyumbang kepada kejadian kemalangan jalanraya. Cuaca hujan lebat, ribut, tanah runtuh, banjir dan pokok tumbang telah disenarai antara penyebab berlakunya kemalangan jalanraya.

FAKTOR-FAKTOR LAIN

Selain faktor-faktor tersebut, antara perkara yang turut menyumbang kepada kemalangan jalanraya adalah perbuatan khianat seperti menyimbah minyak di atas jalanraya yang membuatkan jalan menjadi licin atau perbuatan menabur benda tajam seperti paku dengan niat untuk menjadikan sesuatu kemalangan berlaku. Muatan jatuh dari kenderaan, sisa tayar pecah, sampah di atas jalan, dan sebagainya juga boleh menjadi sebab sesuatu kemalangan jalanraya. Ada juga kemalangan berpunca daripada lintasan oleh haiwan liar/ternakan di setengah-setengah kawasan dan turut pernah dikaitkan juga bahawa gangguan makhluk halus terhadap pemandu turut menjadi antara punca kemalangan berlaku.

KESIMPULAN

Kemalangan jalanraya di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara. Walaupun pelbagai langkah telah diambil dan diusahakan oleh pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini, namun kadar kehilangan nyawa yang berpunca daripada kemalangan jalanraya menunjukkan usaha-usaha tersebut belum berhasil. Sikap pengguna jalanraya yang terlalu mengambil mudah aspek keselamatan semasa pemanduan adalah merupakan punca utama kepada perkara ini. Semua pengguna perlu memantapkan lagi disiplin dan tahap kesabaran untuk mengelak kejadian kemalangan jalanraya. Dan ini tidak memerlukan tindakan mana-mana pihak tertentu sebaliknya hanya perlu diadaptasikan oleh setiap pengguna jalanraya.


Sekian terima kasih.

No comments: