Search This Blog

Thursday, 20 May 2021

KONFLIK PALESTIN - ISRAEL



SALAM DAMAI SEJAGAT TOLAK PEPERANGAN..


Saya bersama Palestin. Tetapi saya bersetuju dengan solusi penyelesaian 2 buah negara sebagai jalan untuk mengakhiri konflik Palestin - Israel.



Jika ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa islam dan hanya muslim yang paling mulia berbanding penganut agama lain, itu jelas dia gagal mentafsir ujian Allah. Di sisi Allah semua manusia adalah sama. Beza hanya pada iman, amal dan taqwa. Seruan jihad hanyalah ujian dariNya untuk kita manusia makhluk ciptaanNya. Kita tidak sepatutnya menyahut seruan jihad secara membuta tuli. Sebab itu wahyu pertama yang diturunkanNya adalah tuntutan untuk kita berfikir melalui ayat 1 surah Al-Alaq (iqra'/baca). Agar kita fikir dahulu sebelum menerima bulat-bulat sebarang perkara. Kerana masih sangat banyak pilihan lain untuk meraih rahmat dan kasih Allah berbanding melalui jihad peperangan.


Bagaimana mungkin kita berharap atau menyangka mereka yang tidak sepegangan dengan kita, akan mengiktiraf kita lebih mulia daripada mereka. Kerana seperti mana kita yakin mereka sesat, begitulah juga keyakinan mereka terhadap kita. Jihad kita sepatutnya adalah untuk memberi yakin kepada mereka bahawa kita tidak sesat. Dan sepatutnya mereka ikuti. Namun tanpa hidayah daripada Allah pastinya jihad tersebut hampa. Dan ianya bukanlah mudah.


Konflik Palestin dan Israel telah berlanjutan sekian lama. Bukan sahaja telah mengorbankan ratusan ribu nyawa tetapi turut menjejaskan ekosistem hubungan negara - negara serantau dan antarabangsa.


Sampai bila konflik ini akan berlaku. Apa solusi yang kita dan dunia ada? Sejak dahulu kita bersolidariti dengan mengutuk dan mengecam puak yang kita label sebagai zionis laknatullah ini,  memboikot produk mereka yang bersifat sementara dan kesannya juga tidak seberapa. Kita mahukan agar semua negara islam putuskan sebarang bentuk hubungan dengan Israel. Padahal Israel itu, jika menurut kita adalah terletak di dalam negara islam Palestin. Lagipun Israel boleh dikatakan tidak pun memerlukan sebarang jalinan hubungan dengan kebanyakan negara Islam. Sebaliknya banyak negara yang terpaksa bergantung kepada Israel.


Kita juga secara konsisten mengumpul dan menyalurkan dana untuk membantu membangunkan negara Palestin. Pasca perang. Namun acap kali bangunan - bangunan hasil sumbangan kita tegak di bumi Palestin, perang baru tiba-tiba meletus yang meranapkan kembali bangunan - bangunan tersebut. Jadinya usaha kita tetap sia-sia.


Apakah peperangan adalah satu-satunya jalan yang ada? Sedangkan sekian lama perang Palestin - Israel adalah perang yang tiada penghujungnya. Walau kerajaan lain-lain negara sudah bertukar ganti. Kemahuan kita adalah supaya semua negara islam menghantar bala tentera ke Palestin untuk membantu negara tersebut memerangi Israel. Tapi semua kerajaan yang ada tidak mampu berbuat demikian. Walau pemimpin yang memerintah adalah mereka yang pernah melaung-laungkan solidariti tersebut sebelum menjadi ketua negara.


Persoalannya apakah Israel bersendirian? Jika tidak, apakah kita sudah bersedia menghadapi perang yang melibatkan seluruh pelosok dunia? Apa faedah yang kita dapat daripadanya. Tiada melainkan hanya kemusnahan dan kehancuran semata-mata.


Kita tahu setiap korban peperangan akan  membibitkan dendam-dendam yang menuntut untuk dibalas lunaskan. Dan apa kesudahan bagi setiap dendam tersebut? Kita semua tahu.


Kenapa kita cenderung memilih perang sebagai jalan penyelesaian kemelut Palestin - Israel. Sedangkan sudah bertahun kemelut ini menyelubungi dunia islam dan sekitarnya. Kenapa kita hanya memikirkan untuk menyelamatkan Palestin. Salahkah atau apakah tidak menjadi jihad jika kita selamatkan Palestin dan Israel sekali? Lebih molek kita semai benih-benih perdamaian yang bakal memberi kemakmuran kepada hidup kita sejagat. 


Berlapang dada kita anjurkan penyelesaian dan menolak sebarang bentuk peperangan. Kita bukan pengecut, cuma semua pihak terlampau berani. Keberanian yang didasari rasa ego, harga diri dan menjaga imej maruah mengatasi segala-galanya sehingga menafikan sifat perikemanusiaan yang memangsakan rakyat jelata yang tidak berdosa. Jihad seperti ini saya yakin bukanlah jihad yang dituntut dalam agama. Ianya lebih kepada kepentingan peribadi dan ketamakan kuasa oleh pemimpin - pemimpin yang bertelagah.


Puncanya mungkin oleh pentaksub agama. Tetapi sedar atau tidak konflik Palestin - Israel adalah propaganda yahudi yang berniat menimbulkan tekanan di kalangan negara-negara islam agar merencat pembangunan ketamadunan dan ekonomi Islam. Jadinya negara-negara Islam akan terus terkebelakang dalam persaingan kemajuan dan kemodenan.


Kehancuran Palestin yang menarik sokongan moral dan bantuan dana dari luar secara langsung meningkatkan ekonomi yahudi hasil daripada solidariti masyarakat antarabangsa. 


Jika perang ini berterusan, Yahudi akan terus memperkudakan negara-negara Islam dari pelbagai sudut untuk kepentingan ekonomi mereka. Perjuangan agama oleh kedua belah pihak hanyalah sebagai papan sasaban untuk menjayakan matlamat masing-masing.


MUSLIM SEJATI DAMBA KASIH ILAHI

Katakan tidak kepada peperangan.







Saturday, 12 December 2020

LIRIK LAGU PARTI WARISAN

 LAGU PARTI WARISAN SABAH


Menjunjung menjulang anak bangsa 

Pertahan warisan ibunda

Tekad berbakti pada pertiwi

Warisan membela anak negeri


Misi membentuk era baru

Serasa jiwa teguh berpadu

Harmoni hidup berbagai suku

Majulah Sabah tanah airku


Warisan eratkan perpaduan

Warisan mencipta kemajuan

Warisan membawa kemakmuran

Warisan membina wawasan


Negeri Sabah khazanah bangsa

Tanah tumpahnya darah kita

Bangkitlah pewaris pertahankannya

Biar putih tulang jangan putih mata

Friday, 10 July 2020

SOLAT JUMAAT BERDOSA

SOLAT JUMAAT YANG MENYEBABKAN BERDOSA
Oleh Panglima Bajau
Gambar sekadar hiasan


Acap kali dan di mana-mana sahaja berlaku keadaan jalan raya sesak di jalan yang ada masjid. Lebih-lebih lagi pada waktu solat jumaat. Terutamanya di masjid yang tempat letak keretanya tidak banyak atau langsung tiada. Jadinya para jemaah terpaksa meletak kereta di sepanjang jalanraya berdekatan masjid tersebut.

Niat dan keberhasilan mengikuti menjadi jemaah solat jumaat itu memang baik dan merupakan tuntutan fardhu ain bagi lelaki yang cukup syaratnya. Malahan tuntutan kifayah bagi setiap masyarakat yang ada di dalam kariah.

Saya tidak mahu membahas perihal kewajiban solat jumaat itu. Cumanya saya mahu ajukan pertanyaan kepada sesiapa sahaja yang boleh menjawab kemusykilan ini. Apakah berdosa mereka yang menunaikan solat jumaat sedangkan pada masa yang sama mereka menjadi punca dosa kepada pihak/orang lain.

Merujuk kepada situasi kereta terhalang dek kenderaan para jemaah yang diparkir di sepanjang jalan berdekatan masjid tersebut, pastinya pemandu yang menjadi 'mangsa' keadaan tersebut akan melafazkan dan meluahkan rasa marah mereka dengan pelbagai sumpahan maki hamun yang mengundang dosa bagi mereka.

Jadi jika perkara seperti ini berlaku, apakah tiada dosa bagi pertanggungjawaban kesulitan yang dihadapi oleh pengguna jalan terbabit? Terutamanya perempuan dan mereka yang non-muslim.

Sekadar aku bertanya.

~ Elakkan ibadah kita menjadi punca dosa kepada yang lain.

Wednesday, 19 February 2020

Teknologi - Baik dan jahatnya

TEKNOLOGI - BAIK DAN JAHATNYA
Oleh: Panglima Bajau




Dunia semakin canggih. Banyak perkara yang dahulunya dilakukan oleh manusia sepenuhnya kini boleh dipermudahkan dengan bantuan teknologi. Penemuan demi penemuan dalam kajian teknologi telah menjadikan dunia semakin canggih.

Boleh dikatakan dalam setiap perkara, manusia telah mencapai tahap mampu mencipta 'pekerja' yang melakukan kerja yang dahulunya adalah kerjanya. Maksud saya manusia kini sudah mampu mencipta 'tangan', 'kaki' dan 'otak', yang memainkan peranan penting menjalankan kerja-kerja dalam kehidupan seharian.

Jika dahulunya, kita memerlukan pergerakan yang jauh, masa berhari-hari dan dengan kos yang tinggi hanya untuk menghantar undangan jemputan perkahwinan kepada seseorang. Kini dengan teknologi, dalam masa beberapa detik sahaja, urusan penghantaran undangan selesai. Bukan hanya kepada seorang, malah seluruh kenalan walaupun berada di mana-mana pelosok bumi.

Kalau dulu, setelah beberapa hari dikebumikan, ada di kalangan saudara mara atau sahabat handai yang baru mengetahui yang seseorang itu telah meninggal dunia. Tetapi kini, boleh dikatakan pada saat tarikan nafasnya yang terakhir pun, semua orang sudah boleh mengetahui khabar kematian seseorang. Waima yang berada di benua yang lain pun. Malah ada yang boleh membuat 'video call' atau 'live facebook' saat-saat kematian seseorang.

Dulu, tika berjauhan dengan orang-orang tersayang, kita hanya mampu menatap gambar mereka yang sudah lama kita simpan dalam dompet atau sebagainya. Kini, sejauh mana pun jarak, kita masih mampu melihat mereka di hadapan kita. Kita juga boleh mengajar anak yang berada di negara asing menanak nasi secara langsung.

Canggihnya teknologi.. Kita kentut di Malaysia, kawan yang duduk di Palestin pun boleh dengar. Tinggal lagi baunya saja tidak terhidunya. Tetapi boleh diceritakan pada masa itu juga.

Jadi nikmat Allah yang mana lagi kamu dustakan?

Pentingnya menuntut ilmu. Pentingnya berfikir. Allah beri akal kepada manusia supaya berfikir dan menguasai ilmu pengetahuan. Sehinggakan Dia Firmankan sebagai perintah pertama kepada manusia, 'Iqra'. Seruan akan kepentingan menguasai ilmu. Dengan membaca manusia akan memperoleh ilmu. Melalui pembacaanlah seseorang itu dapat berfikir tentang sesuatu.

Pembacaan bukan semestinya tulisan, pembacaan terhadap sifat dan keadaan sesuatu itu terangkum dalam tuntutan 'iqra'. Allah cipta sesuatu benda / hidupan dengan pelbagai bentuk untuk menjadikannya sebagai catusan ilham pembacaan.

Para pemikir terus-terusan berfikir sehingga menghasilkan penemuan teknologi. Mendorong mereka mencipta apa juga yang boleh menyumbang kepada peningkatan teknologi. Kebolehan berfikir dan menaakul yang dikurniakan Allah kepada manusia menjadikan makhluk ini adalah ciptaanNya yang paling istimewa. Namun bukan sempurna. Istimewa yang banyak kelemahannya. Istimewanya pada akal, lemahnya pada nafsu dan rasa.

Kecanggihan teknologi membawa banyak kebaikan. Semua pekerjaan menjadi lebih mudah dan cepat dilaksanakan. Namun pastinya teknologi juga tidak bebas daripada keburukan. Amat banyak keburukan yang mengiringi kepesatan kejayaan teknologi.

Teknologi maklumat contohnya. Penyebaran sebarang propaganda, maklumat, dan berita dengan pantas dan meluas termasuklah juga pembohongan, penipuan, dan fitnah yang boleh dilakukan walau hanya duduk di dalam rumah berseorangan.

Teknologi Maklumat kini mendominasi kehidupan seharian manusia. Sehinggakan tanpa kemudahan ini manusia bagaikan tidak boleh lagi hidup normal. Dan sesungguhnya dengan teknologi ini juga sebenarnya hidup manusia sudah tidak lagi 'normal'. Ini yang ingin saya perkatakan.

Teknologi maklumat yang begitu besar pengaruhnya. Mudah dikendali dan dijadikan platform oleh pelbagai aplikasi. Dari pencarian lokasi di bumi  sehinggalah kepada urus niaga kewangan dan penyelidikan alam mistik, semuanya hanya di hujung jari.

Saya juruskan kepada judi siber dan permainan dalam talian. Dengan teknologi ini sindiket perjudian bagaikan menemui lubuk emas di alam maya. Bukan sahaja sukar dibenteras oleh pihak berkuasa, judi alam siber amat mudah dikendali dan untung darinya berlipat kali ganda. Tidak perlu berkumpul di sebuah tempat seperti judi pada zaman kuno dahulu. Ketika berseorangan pun seseorang itu boleh menjalankan kegiatan terkutuk ini.

Sesungguhnya judi itu adalah haram di sisi agama Islam. Allah menegahnya sekeras-kerasnya. Banyak keburukan daripada kegiatan yang mustahil menghasilkan kekayaan ini. Hanya tauke judi sahaja yang akan kaya mewah. Sedangkan para pemainnya papa kedana sepanjang masa.

Selain judi, satu lagi malapetaka kepada bangsa dan umat adalah permainan dalam talian. Kini popular di seluruh dunia. Dari permainan candy crush, coc, coq, cod, ml, pubg, worms zone dan sebagainya. Dari budak yang baru belajar untuk hidup sehingga kepada orang tua terkutuk nak mampus pun terjebak ke kancah buang masa, sia-sia, dan berdosa ini.

Kenapa buang masa? Sebab 80 peratus daripada waktu harian mereka bazirkan hanya untuk bermain menghadap telefon. Tiada penghasilan yang boleh memperbaiki ekonomi sendiri, apatah lagi kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Kenapa sia-sia? Tiada hasil. Hanya seronok yang sekejap dan ada kala membazir duit.

Kenapa berdosa? Sebab dalam permainan dan perjudian ini jarang kita dengar para pemainnya mengucap 'Alhamdulillah saya kalah'. Kebanyakannya ABCD, 'anjing!', 'bodoh!' 'cibai!', 'dungu!' sampai ke 'p***mak!' setiap kali kalah dalam perlawanan.

Ada yang sampai terlupa makan, terlupa ada isteri/suami, anak dan orang tua. Apatah lagi yang terabaikan pekerjaan. Tanggungjawab kepada Tuhan? Jauh sekali. Mengundang rasa menyampah kepada sesiapa sahaja di sekeliling mereka. Lebih-lebih lagi rakan sembang atau makan semeja. Kerana mereka lebih menumpukan perhatian kepada 'game' di tangan.

Siapa yang menciptakan permainan ini? Siapa yang eksploitasi teknologi untuk perkara-perkara merosak ini?

Pastinya mereka yang berfikir.. Mereka yang mereka teknologi. Tidak lain dan tidak bukan. Mereka yang mahu menjadi tuhan.

Allah mencipta manusia. Manusia mampu mencipta 'anggota' tubuh manusia. Dan Allah sebenarnya sedang mencipta 'tuhan' melalui ciptaan istimewaNya.

Pencipta teknologi perjudian alam maya sebenarnya akan menjadi 'tuhan'. Apabila kekayaan yang dikautnya daripada para pemain yang semakin papa kedana sudah melimpah ruah, akan menerbitkan kekuasaan yang tiada bandingannya. Akan mampu membina blok kekuasaan yang tidak tergugat. Dan dengan istidraj daripada Allah, 'tuhan' tersebut akan bermaharajalela.. Menindas manusia jagat raya sehinggalah hidayah Allah menaungi mereka yang mencariNya.
Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan yang bertaqwa dan beramal soleh..

Sekadar aku menulis..




LAUT TAWAU: ANTARA SELUDUP DAN BAYAR CUKAI

LAUT TAWAU - ANTARA SELUDUP DAN BAYAR CUKAI

Laut Tawau

Di perairan ini terletak sebuah Pelabuhan, Pengkalan Polis Marin, Kompleks Kastam, Pengkalan Navy, Maritim, Pasar Ikan, Terminal Feri Tawau, beberapa buah perkampungan atas air dan beberapa jeti nelayan / persendirian.

Dahulu di sini terkenal dengan kegiatan perdagangan dengan negara-negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina. Aktiviti utama adalah kegiatan perdagangan sistem barter. Turut rancak adalah kegiatan penyeludupan. Dari sekecil-kecil keropok belinjo sehingga rokok keretek, kayu gaharu, haiwan eksotik dan dadah diseludup keluar masuk berleluasa di sini. Dan sudah semestinya PTI dari Indonesia. 


Kedudukan Tawau dan Nunukan Indonesia yang sangat dekat ditambah lagi dengan ketiadaan pagar membatas sempadan negara memudahkan penduduk di sini keluar masuk Tawau - Nunukan tanpa melalui pintu masuk yang sah. Melalui jalan laut. Bot laju dan petek-petek.

Dikatakan walaupun perairan ini dijaga oleh pasukan keselamatan dan pihak berkuasa kedua-dua negara berjiran ini, namun keluasan / panjang sempadan perairan tanpa pagar dan kekurangan kekuatan keanggotaan, serta sikap segelintir penguatkuasa yang khianat telah menyebabkan kegiatan penyeludupan aktif berlaku pada masa itu. Waktu siang dan terutamanya sebelah malam.


Kegiatan penyeludupan yang berleluasa pada ketika itu merancakkan lagi aktiviti ekonomi kedua belah 'daerah'. Rakyat juga mudah memperoleh barang-barang keperluan dengan kos yang rendah.

Selain itu, kegiatan tersebut juga telah secara langsung mewujudkan banyak peluang dan ruang-ruang kerja kepada penduduk di kawasan berdekatan. Pergerakan aliran wang dalam daerah ini begitu rancak dan jarang sekali kedengaran keluhan rakyat di sini tentang kos sara hidup, harga barang, dan kesukaran mendapatkan barang / bekalan.

Apa yang ingin saya katakan adalah kenapa sejak penguatkuasaan undang-undang ketat berkaitan kawalan sempadan, dan kecanggihan teknologi, serta pengaplikasian sistem pentadbiran yang cekap dan moden, keadaan ekonomi rakyat menjadi  semakin teruk? Kesusahan semakin menghimpit.

Kos sara hidup meningkat mendadak. Banyak kekangan yang dihadapi oleh para peniaga dan rakyat untuk mendapatkan taraf ekonomi yang lebih baik seperti atau berbanding dahulu. Terlebih-lebih lagi tentunya kepada para penggiat 'penyeludupan'.


Saya cuma mahu bertanya, apakah sistem ekonomi sekarang ini dilaksanakan semata-mata untuk menyeksa rakyat? Atau apakah ekonomi sekarang ini adalah yang terbaik kerajaan mampu sediakan untuk rakyat? 

Kalau kegiatan penyeludupan boleh saja mensejahterakan rakyat, apa perlunya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang menyusahkan rakyat? Kalau untuk mendapatkan hasil cukai, rakyat akan semakin terbeban dan menderita. 

Yang mewah orang-orang tertentu saja. Yang rakyat berkakai mencari rezeki dalam masa yang sama sentiasa takut diburu oleh pihak berkuasa kerana melanggar peraturan. Peraturan yang sebenarnya hanyalah alasan untuk mengaut pendapatan daripada rakyat. Pendapatan yang sebenarnya adalah milik mutlak rakyat itu sendiri. 

Stress di kalangan rakyat meningkat. Peluang-peluang pekerjaan semakin terbatas. Jadinya ada yang terdesak dan terpaksa mencebur diri buat kerja jenayah, mencuri, merompak, menyamun dan kerja jahat sebagainya.


Tulisan saya ini bukan bermakna saya menggalakkan atau mengesyorkan kegiatan penyeludupan dibenar berleluasa kembali. Cumanya saya mengutarakan persoalan apakah tiada jalan yang boleh menjadikan kegiatan ekonomi rakyat di sini kembali rancak dan menjana ekonomi mereka tanpa dibebani cukai yang tinggi dan kerenah monopoli oleh pihak-pihak tertentu? 

Manfaat terus daripada cukai kepada rakyat tidaklah seberapa. Malahan jauh lebih rendah daripada yang dikutip. Pulangan dalam bentuk wang bantuan dan subsidi yang kini semakin kecil tidak berbaloi dengan apa yang dipungut secara paksa rela daripada mereka. Malahan nikmat subsidi yang kecil itu juga turut dikecapi oleh semua lapisan masyarakat. Termasuk orang kaya dan warga asing.

Jadinya kini, yang kaya semakin kaya. Yang miskin papa kedana dari diri sehingga ke generasi warisan mereka.

~Sekadar aku belajar menaip..




Saturday, 30 March 2019

FAKTOR-FAKTOR KEMALANGAN JALANRAYA DI MALAYSIA

FAKTOR-FAKTOR KEMALANGAN JALANRAYA DI MALAYSIA

Ditulis oleh: Panglima Bajau

PENGENALAN

Kemalangan jalanraya adalah antara penyumbang tertinggi kes kematian di negara ini. Hampir setiap hari di seluruh negara ada sahaja dilaporkan kematian akibat daripada kemalangan jalanraya. Peningkatan statistik kematian akibat kemalangan dari tahun ke tahun amat membimbangkan walaupun kemajuan pembangunan negara semakin baik dan sepatutnya mampu mengekang peningkatan kemalangan ini. Beberapa perkara dikenalpasti antara punca berlakunya kemalangan jalanraya. Antaranya adalah:
(a) Sikap pemandu 
(b) Keadaan jalanraya
(c) Keadaan kendaraan
(d) Faktor cuaca / bencana alam 
(e) Faktor-faktor lain.

SIKAP PEMANDU

Sikap pemandu dikenalpasti menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes kemalangan jalanraya. Sikap pentingkan diri tanpa menghiraukan aspek keselamatan diri dan pengguna lain mendorong seorang pemandu bertindak mengikut kehendak hati sendiri seperti memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, tidak memasang 'signal' ketika masuk/keluar simpang, dan sebagainya telah banyak mengakibatkan kemalangan. Terdapat juga pemandu yang lalai seperti gagal mematuhi isyarat lalu lintas terutamanya di persimpangan lampu isyarat, selekoh tajam, dan di bulatan. Malahan ada pemandu yang dengan sewenang-wenangnya berkelakuan biadab membuli pengguna lain yang boleh mengundang bukan sahaja kemalangan tetapi juga pergaduhan. Selain itu, terdapat juga pemandu yang tidak berdisiplin di jalan raya. Antaranya ada yang memandu sambil minum, makan, hisap rokok, dan mengendalikan telefon bimbit. Tebiat ini juga antara penyumbang terbesar kepada kes-kes kemalangan jalanraya.

KEADAAN JALANRAYA

Pembangunan infrastruktur jalan raya di negara ini terus ditingkatkan dari tahun ke tahun. Malah di beberapa buah negeri di Semananjung Malaysia, kebanyakan jalanrayanya telah mencapai tahap yang amat memuaskan. Jaringan jalanraya yang baik akan memberi keselesaan pemanduan kepada para pengguna jalanraya. Namun demikian itu tidak menjamin jalanraya tersebut bebas daripada insiden kemalangan lebih-lebih lagi apabila bersangkutan dengan faktor sikap pengguna. Bentuk muka bumi yang berbukit bukau, gunung lembah dan persisiran pantai juga menyumbang kepada kejadian kemalangan jalanraya. Banyak jalanraya terutama di negeri Sabah dan Sarawak yang keadaannya jauh daripada tahap memuaskan. Jarak antara bandar yang terlalu jauh ditambah dengan kemudahan jalanraya yang tidak dilengkapi lampu jalan, tanda-tanda isyarat lalulintas, jalan berlopak, tidak berturap, sempit dan dikelilingi hutan tebal pastinya tidak selamat untuk pemanduan terutamanya pada waktu malam atau ketika hujan lebat. Terdapat juga jalanraya yang tidak memenuhi aspek keselamatan samaada dari segi binaan mahupun pemasangan tanda isyarat yang tidak releven di kawasan-kawasan tertentu.

KEADAAN KENDERAAN

Keadaan kenderaan yang tidak dalam keadaan yang baik juga antara sebab berlakunya kemalangan. Kegagalan pemandu memeriksa dan memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik sebelum berjalan turut dikenalpasti penyebab kemalangan jalanraya. Kenderaan yang selamat digunakan mestilah merangkumi perkara-perkara seperti sistem lampu, brek, minyak petrol/enjin, sistem gear dan sebagainya dalam keadaan yang baik. Kegagalan para pemandu memastikan perkara-perkara ini berpotensi membawa padah semasa pemanduan.

FAKTOR CUACA / BENCANA ALAM

Keadaan cuaca dan kejadian bencana alam juga adalah antara penyumbang kepada kejadian kemalangan jalanraya. Cuaca hujan lebat, ribut, tanah runtuh, banjir dan pokok tumbang telah disenarai antara penyebab berlakunya kemalangan jalanraya.

FAKTOR-FAKTOR LAIN

Selain faktor-faktor tersebut, antara perkara yang turut menyumbang kepada kemalangan jalanraya adalah perbuatan khianat seperti menyimbah minyak di atas jalanraya yang membuatkan jalan menjadi licin atau perbuatan menabur benda tajam seperti paku dengan niat untuk menjadikan sesuatu kemalangan berlaku. Muatan jatuh dari kenderaan, sisa tayar pecah, sampah di atas jalan, dan sebagainya juga boleh menjadi sebab sesuatu kemalangan jalanraya. Ada juga kemalangan berpunca daripada lintasan oleh haiwan liar/ternakan di setengah-setengah kawasan dan turut pernah dikaitkan juga bahawa gangguan makhluk halus terhadap pemandu turut menjadi antara punca kemalangan berlaku.

KESIMPULAN

Kemalangan jalanraya di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara. Walaupun pelbagai langkah telah diambil dan diusahakan oleh pihak berwajib untuk mengatasi masalah ini, namun kadar kehilangan nyawa yang berpunca daripada kemalangan jalanraya menunjukkan usaha-usaha tersebut belum berhasil. Sikap pengguna jalanraya yang terlalu mengambil mudah aspek keselamatan semasa pemanduan adalah merupakan punca utama kepada perkara ini. Semua pengguna perlu memantapkan lagi disiplin dan tahap kesabaran untuk mengelak kejadian kemalangan jalanraya. Dan ini tidak memerlukan tindakan mana-mana pihak tertentu sebaliknya hanya perlu diadaptasikan oleh setiap pengguna jalanraya.


Sekian terima kasih.

Thursday, 16 February 2012

TIGA SAHABAT MAUT KEMALANGAN

Tiga orang sahabat mati dalam sebuah kemalangan jalanraya dan pergi ke syurga untuk orientasi.

Mereka semua bertanya, “Saat kamu sudah mati, dan teman serta keluargamu berduka di sebelah mayatmu, kamu ingin mendengar apa yang mereka cakap?”

Orang pertama berkata, “Aku ingin mendengar mereka berkata bahawa aku adalah seorang  baik.”

Orang kedua berkata, “Aku ingin mendengar mereka berkata bahawa aku adalah seorang yang kuat beribadah dan tidak pernah menganiaya orang lain.."

Orang terakhir menjawab, “Aku ingin mendengar mereka berkata, “Lihat, ia bergerak!!!! :P