Search This Blog

Wednesday, 19 February 2020

Teknologi - Baik dan jahatnya

TEKNOLOGI - BAIK DAN JAHATNYA
Oleh: Panglima Bajau




Dunia semakin canggih. Banyak perkara yang dahulunya dilakukan oleh manusia sepenuhnya kini boleh dipermudahkan dengan bantuan teknologi. Penemuan demi penemuan dalam kajian teknologi telah menjadikan dunia semakin canggih.

Boleh dikatakan dalam setiap perkara, manusia telah mencapai tahap mampu mencipta 'pekerja' yang melakukan kerja yang dahulunya adalah kerjanya. Maksud saya manusia kini sudah mampu mencipta 'tangan', 'kaki' dan 'otak', yang memainkan peranan penting menjalankan kerja-kerja dalam kehidupan seharian.

Jika dahulunya, kita memerlukan pergerakan yang jauh, masa berhari-hari dan dengan kos yang tinggi hanya untuk menghantar undangan jemputan perkahwinan kepada seseorang. Kini dengan teknologi, dalam masa beberapa detik sahaja, urusan penghantaran undangan selesai. Bukan hanya kepada seorang, malah seluruh kenalan walaupun berada di mana-mana pelosok bumi.

Kalau dulu, setelah beberapa hari dikebumikan, ada di kalangan saudara mara atau sahabat handai yang baru mengetahui yang seseorang itu telah meninggal dunia. Tetapi kini, boleh dikatakan pada saat tarikan nafasnya yang terakhir pun, semua orang sudah boleh mengetahui khabar kematian seseorang. Waima yang berada di benua yang lain pun. Malah ada yang boleh membuat 'video call' atau 'live facebook' saat-saat kematian seseorang.

Dulu, tika berjauhan dengan orang-orang tersayang, kita hanya mampu menatap gambar mereka yang sudah lama kita simpan dalam dompet atau sebagainya. Kini, sejauh mana pun jarak, kita masih mampu melihat mereka di hadapan kita. Kita juga boleh mengajar anak yang berada di negara asing menanak nasi secara langsung.

Canggihnya teknologi.. Kita kentut di Malaysia, kawan yang duduk di Palestin pun boleh dengar. Tinggal lagi baunya saja tidak terhidunya. Tetapi boleh diceritakan pada masa itu juga.

Jadi nikmat Allah yang mana lagi kamu dustakan?

Pentingnya menuntut ilmu. Pentingnya berfikir. Allah beri akal kepada manusia supaya berfikir dan menguasai ilmu pengetahuan. Sehinggakan Dia Firmankan sebagai perintah pertama kepada manusia, 'Iqra'. Seruan akan kepentingan menguasai ilmu. Dengan membaca manusia akan memperoleh ilmu. Melalui pembacaanlah seseorang itu dapat berfikir tentang sesuatu.

Pembacaan bukan semestinya tulisan, pembacaan terhadap sifat dan keadaan sesuatu itu terangkum dalam tuntutan 'iqra'. Allah cipta sesuatu benda / hidupan dengan pelbagai bentuk untuk menjadikannya sebagai catusan ilham pembacaan.

Para pemikir terus-terusan berfikir sehingga menghasilkan penemuan teknologi. Mendorong mereka mencipta apa juga yang boleh menyumbang kepada peningkatan teknologi. Kebolehan berfikir dan menaakul yang dikurniakan Allah kepada manusia menjadikan makhluk ini adalah ciptaanNya yang paling istimewa. Namun bukan sempurna. Istimewa yang banyak kelemahannya. Istimewanya pada akal, lemahnya pada nafsu dan rasa.

Kecanggihan teknologi membawa banyak kebaikan. Semua pekerjaan menjadi lebih mudah dan cepat dilaksanakan. Namun pastinya teknologi juga tidak bebas daripada keburukan. Amat banyak keburukan yang mengiringi kepesatan kejayaan teknologi.

Teknologi maklumat contohnya. Penyebaran sebarang propaganda, maklumat, dan berita dengan pantas dan meluas termasuklah juga pembohongan, penipuan, dan fitnah yang boleh dilakukan walau hanya duduk di dalam rumah berseorangan.

Teknologi Maklumat kini mendominasi kehidupan seharian manusia. Sehinggakan tanpa kemudahan ini manusia bagaikan tidak boleh lagi hidup normal. Dan sesungguhnya dengan teknologi ini juga sebenarnya hidup manusia sudah tidak lagi 'normal'. Ini yang ingin saya perkatakan.

Teknologi maklumat yang begitu besar pengaruhnya. Mudah dikendali dan dijadikan platform oleh pelbagai aplikasi. Dari pencarian lokasi di bumi  sehinggalah kepada urus niaga kewangan dan penyelidikan alam mistik, semuanya hanya di hujung jari.

Saya juruskan kepada judi siber dan permainan dalam talian. Dengan teknologi ini sindiket perjudian bagaikan menemui lubuk emas di alam maya. Bukan sahaja sukar dibenteras oleh pihak berkuasa, judi alam siber amat mudah dikendali dan untung darinya berlipat kali ganda. Tidak perlu berkumpul di sebuah tempat seperti judi pada zaman kuno dahulu. Ketika berseorangan pun seseorang itu boleh menjalankan kegiatan terkutuk ini.

Sesungguhnya judi itu adalah haram di sisi agama Islam. Allah menegahnya sekeras-kerasnya. Banyak keburukan daripada kegiatan yang mustahil menghasilkan kekayaan ini. Hanya tauke judi sahaja yang akan kaya mewah. Sedangkan para pemainnya papa kedana sepanjang masa.

Selain judi, satu lagi malapetaka kepada bangsa dan umat adalah permainan dalam talian. Kini popular di seluruh dunia. Dari permainan candy crush, coc, coq, cod, ml, pubg, worms zone dan sebagainya. Dari budak yang baru belajar untuk hidup sehingga kepada orang tua terkutuk nak mampus pun terjebak ke kancah buang masa, sia-sia, dan berdosa ini.

Kenapa buang masa? Sebab 80 peratus daripada waktu harian mereka bazirkan hanya untuk bermain menghadap telefon. Tiada penghasilan yang boleh memperbaiki ekonomi sendiri, apatah lagi kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Kenapa sia-sia? Tiada hasil. Hanya seronok yang sekejap dan ada kala membazir duit.

Kenapa berdosa? Sebab dalam permainan dan perjudian ini jarang kita dengar para pemainnya mengucap 'Alhamdulillah saya kalah'. Kebanyakannya ABCD, 'anjing!', 'bodoh!' 'cibai!', 'dungu!' sampai ke 'p***mak!' setiap kali kalah dalam perlawanan.

Ada yang sampai terlupa makan, terlupa ada isteri/suami, anak dan orang tua. Apatah lagi yang terabaikan pekerjaan. Tanggungjawab kepada Tuhan? Jauh sekali. Mengundang rasa menyampah kepada sesiapa sahaja di sekeliling mereka. Lebih-lebih lagi rakan sembang atau makan semeja. Kerana mereka lebih menumpukan perhatian kepada 'game' di tangan.

Siapa yang menciptakan permainan ini? Siapa yang eksploitasi teknologi untuk perkara-perkara merosak ini?

Pastinya mereka yang berfikir.. Mereka yang mereka teknologi. Tidak lain dan tidak bukan. Mereka yang mahu menjadi tuhan.

Allah mencipta manusia. Manusia mampu mencipta 'anggota' tubuh manusia. Dan Allah sebenarnya sedang mencipta 'tuhan' melalui ciptaan istimewaNya.

Pencipta teknologi perjudian alam maya sebenarnya akan menjadi 'tuhan'. Apabila kekayaan yang dikautnya daripada para pemain yang semakin papa kedana sudah melimpah ruah, akan menerbitkan kekuasaan yang tiada bandingannya. Akan mampu membina blok kekuasaan yang tidak tergugat. Dan dengan istidraj daripada Allah, 'tuhan' tersebut akan bermaharajalela.. Menindas manusia jagat raya sehinggalah hidayah Allah menaungi mereka yang mencariNya.
Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan yang bertaqwa dan beramal soleh..

Sekadar aku menulis..




LAUT TAWAU: ANTARA SELUDUP DAN BAYAR CUKAI

LAUT TAWAU - ANTARA SELUDUP DAN BAYAR CUKAI

Laut Tawau

Di perairan ini terletak sebuah Pelabuhan, Pengkalan Polis Marin, Kompleks Kastam, Pengkalan Navy, Maritim, Pasar Ikan, Terminal Feri Tawau, beberapa buah perkampungan atas air dan beberapa jeti nelayan / persendirian.

Dahulu di sini terkenal dengan kegiatan perdagangan dengan negara-negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina. Aktiviti utama adalah kegiatan perdagangan sistem barter. Turut rancak adalah kegiatan penyeludupan. Dari sekecil-kecil keropok belinjo sehingga rokok keretek, kayu gaharu, haiwan eksotik dan dadah diseludup keluar masuk berleluasa di sini. Dan sudah semestinya PTI dari Indonesia. 


Kedudukan Tawau dan Nunukan Indonesia yang sangat dekat ditambah lagi dengan ketiadaan pagar membatas sempadan negara memudahkan penduduk di sini keluar masuk Tawau - Nunukan tanpa melalui pintu masuk yang sah. Melalui jalan laut. Bot laju dan petek-petek.

Dikatakan walaupun perairan ini dijaga oleh pasukan keselamatan dan pihak berkuasa kedua-dua negara berjiran ini, namun keluasan / panjang sempadan perairan tanpa pagar dan kekurangan kekuatan keanggotaan, serta sikap segelintir penguatkuasa yang khianat telah menyebabkan kegiatan penyeludupan aktif berlaku pada masa itu. Waktu siang dan terutamanya sebelah malam.


Kegiatan penyeludupan yang berleluasa pada ketika itu merancakkan lagi aktiviti ekonomi kedua belah 'daerah'. Rakyat juga mudah memperoleh barang-barang keperluan dengan kos yang rendah.

Selain itu, kegiatan tersebut juga telah secara langsung mewujudkan banyak peluang dan ruang-ruang kerja kepada penduduk di kawasan berdekatan. Pergerakan aliran wang dalam daerah ini begitu rancak dan jarang sekali kedengaran keluhan rakyat di sini tentang kos sara hidup, harga barang, dan kesukaran mendapatkan barang / bekalan.

Apa yang ingin saya katakan adalah kenapa sejak penguatkuasaan undang-undang ketat berkaitan kawalan sempadan, dan kecanggihan teknologi, serta pengaplikasian sistem pentadbiran yang cekap dan moden, keadaan ekonomi rakyat menjadi  semakin teruk? Kesusahan semakin menghimpit.

Kos sara hidup meningkat mendadak. Banyak kekangan yang dihadapi oleh para peniaga dan rakyat untuk mendapatkan taraf ekonomi yang lebih baik seperti atau berbanding dahulu. Terlebih-lebih lagi tentunya kepada para penggiat 'penyeludupan'.


Saya cuma mahu bertanya, apakah sistem ekonomi sekarang ini dilaksanakan semata-mata untuk menyeksa rakyat? Atau apakah ekonomi sekarang ini adalah yang terbaik kerajaan mampu sediakan untuk rakyat? 

Kalau kegiatan penyeludupan boleh saja mensejahterakan rakyat, apa perlunya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang menyusahkan rakyat? Kalau untuk mendapatkan hasil cukai, rakyat akan semakin terbeban dan menderita. 

Yang mewah orang-orang tertentu saja. Yang rakyat berkakai mencari rezeki dalam masa yang sama sentiasa takut diburu oleh pihak berkuasa kerana melanggar peraturan. Peraturan yang sebenarnya hanyalah alasan untuk mengaut pendapatan daripada rakyat. Pendapatan yang sebenarnya adalah milik mutlak rakyat itu sendiri. 

Stress di kalangan rakyat meningkat. Peluang-peluang pekerjaan semakin terbatas. Jadinya ada yang terdesak dan terpaksa mencebur diri buat kerja jenayah, mencuri, merompak, menyamun dan kerja jahat sebagainya.


Tulisan saya ini bukan bermakna saya menggalakkan atau mengesyorkan kegiatan penyeludupan dibenar berleluasa kembali. Cumanya saya mengutarakan persoalan apakah tiada jalan yang boleh menjadikan kegiatan ekonomi rakyat di sini kembali rancak dan menjana ekonomi mereka tanpa dibebani cukai yang tinggi dan kerenah monopoli oleh pihak-pihak tertentu? 

Manfaat terus daripada cukai kepada rakyat tidaklah seberapa. Malahan jauh lebih rendah daripada yang dikutip. Pulangan dalam bentuk wang bantuan dan subsidi yang kini semakin kecil tidak berbaloi dengan apa yang dipungut secara paksa rela daripada mereka. Malahan nikmat subsidi yang kecil itu juga turut dikecapi oleh semua lapisan masyarakat. Termasuk orang kaya dan warga asing.

Jadinya kini, yang kaya semakin kaya. Yang miskin papa kedana dari diri sehingga ke generasi warisan mereka.

~Sekadar aku belajar menaip..