SALAM DAMAI SEJAGAT TOLAK PEPERANGAN..
Saya bersama Palestin. Tetapi saya bersetuju dengan solusi penyelesaian 2 buah negara sebagai jalan untuk mengakhiri konflik Palestin - Israel.
Jika ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa islam dan hanya muslim yang paling mulia berbanding penganut agama lain, itu jelas dia gagal mentafsir ujian Allah. Di sisi Allah semua manusia adalah sama. Beza hanya pada iman, amal dan taqwa. Seruan jihad hanyalah ujian dariNya untuk kita manusia makhluk ciptaanNya. Kita tidak sepatutnya menyahut seruan jihad secara membuta tuli. Sebab itu wahyu pertama yang diturunkanNya adalah tuntutan untuk kita berfikir melalui ayat 1 surah Al-Alaq (iqra'/baca). Agar kita fikir dahulu sebelum menerima bulat-bulat sebarang perkara. Kerana masih sangat banyak pilihan lain untuk meraih rahmat dan kasih Allah berbanding melalui jihad peperangan.
Bagaimana mungkin kita berharap atau menyangka mereka yang tidak sepegangan dengan kita, akan mengiktiraf kita lebih mulia daripada mereka. Kerana seperti mana kita yakin mereka sesat, begitulah juga keyakinan mereka terhadap kita. Jihad kita sepatutnya adalah untuk memberi yakin kepada mereka bahawa kita tidak sesat. Dan sepatutnya mereka ikuti. Namun tanpa hidayah daripada Allah pastinya jihad tersebut hampa. Dan ianya bukanlah mudah.
Konflik Palestin dan Israel telah berlanjutan sekian lama. Bukan sahaja telah mengorbankan ratusan ribu nyawa tetapi turut menjejaskan ekosistem hubungan negara - negara serantau dan antarabangsa.
Sampai bila konflik ini akan berlaku. Apa solusi yang kita dan dunia ada? Sejak dahulu kita bersolidariti dengan mengutuk dan mengecam puak yang kita label sebagai zionis laknatullah ini, memboikot produk mereka yang bersifat sementara dan kesannya juga tidak seberapa. Kita mahukan agar semua negara islam putuskan sebarang bentuk hubungan dengan Israel. Padahal Israel itu, jika menurut kita adalah terletak di dalam negara islam Palestin. Lagipun Israel boleh dikatakan tidak pun memerlukan sebarang jalinan hubungan dengan kebanyakan negara Islam. Sebaliknya banyak negara yang terpaksa bergantung kepada Israel.
Kita juga secara konsisten mengumpul dan menyalurkan dana untuk membantu membangunkan negara Palestin. Pasca perang. Namun acap kali bangunan - bangunan hasil sumbangan kita tegak di bumi Palestin, perang baru tiba-tiba meletus yang meranapkan kembali bangunan - bangunan tersebut. Jadinya usaha kita tetap sia-sia.
Apakah peperangan adalah satu-satunya jalan yang ada? Sedangkan sekian lama perang Palestin - Israel adalah perang yang tiada penghujungnya. Walau kerajaan lain-lain negara sudah bertukar ganti. Kemahuan kita adalah supaya semua negara islam menghantar bala tentera ke Palestin untuk membantu negara tersebut memerangi Israel. Tapi semua kerajaan yang ada tidak mampu berbuat demikian. Walau pemimpin yang memerintah adalah mereka yang pernah melaung-laungkan solidariti tersebut sebelum menjadi ketua negara.
Persoalannya apakah Israel bersendirian? Jika tidak, apakah kita sudah bersedia menghadapi perang yang melibatkan seluruh pelosok dunia? Apa faedah yang kita dapat daripadanya. Tiada melainkan hanya kemusnahan dan kehancuran semata-mata.
Kita tahu setiap korban peperangan akan membibitkan dendam-dendam yang menuntut untuk dibalas lunaskan. Dan apa kesudahan bagi setiap dendam tersebut? Kita semua tahu.
Kenapa kita cenderung memilih perang sebagai jalan penyelesaian kemelut Palestin - Israel. Sedangkan sudah bertahun kemelut ini menyelubungi dunia islam dan sekitarnya. Kenapa kita hanya memikirkan untuk menyelamatkan Palestin. Salahkah atau apakah tidak menjadi jihad jika kita selamatkan Palestin dan Israel sekali? Lebih molek kita semai benih-benih perdamaian yang bakal memberi kemakmuran kepada hidup kita sejagat.
Berlapang dada kita anjurkan penyelesaian dan menolak sebarang bentuk peperangan. Kita bukan pengecut, cuma semua pihak terlampau berani. Keberanian yang didasari rasa ego, harga diri dan menjaga imej maruah mengatasi segala-galanya sehingga menafikan sifat perikemanusiaan yang memangsakan rakyat jelata yang tidak berdosa. Jihad seperti ini saya yakin bukanlah jihad yang dituntut dalam agama. Ianya lebih kepada kepentingan peribadi dan ketamakan kuasa oleh pemimpin - pemimpin yang bertelagah.
Puncanya mungkin oleh pentaksub agama. Tetapi sedar atau tidak konflik Palestin - Israel adalah propaganda yahudi yang berniat menimbulkan tekanan di kalangan negara-negara islam agar merencat pembangunan ketamadunan dan ekonomi Islam. Jadinya negara-negara Islam akan terus terkebelakang dalam persaingan kemajuan dan kemodenan.
Kehancuran Palestin yang menarik sokongan moral dan bantuan dana dari luar secara langsung meningkatkan ekonomi yahudi hasil daripada solidariti masyarakat antarabangsa.
Jika perang ini berterusan, Yahudi akan terus memperkudakan negara-negara Islam dari pelbagai sudut untuk kepentingan ekonomi mereka. Perjuangan agama oleh kedua belah pihak hanyalah sebagai papan sasaban untuk menjayakan matlamat masing-masing.
MUSLIM SEJATI DAMBA KASIH ILAHI
Katakan tidak kepada peperangan.
